Showing posts with label #nasional. Show all posts
Showing posts with label #nasional. Show all posts

Tuesday, 22 April 2014

Insiden Patah Balik MH192 : "Anak Kapal MAS Professional"




KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya memuji profesionalisme anak kapal Penerbangan MH192, yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang awal pagi semalam.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 10.09 malam menuju ke Bangalore, India tetapi berpatah balik ke KLIA apabila mengalami masalah pada gear pendaratannya.

Pesawat itu, yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal, selamat melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada 1.56 pagi semalam.

Ahmad Jauhari juga berada di KLIA untuk menemui penumpang dan anak kapal semasa mereka turun dari pesawat, katanya dalam kenyataan MAS di sini, hari ini.

"Tiada keadaan yang kelam-kabut atau cemas, semua pihak memberi pujian tertinggi terhadap kecekapan dan profesionalisme juruterbang, pegawai pertama dan anak kapal.

"Saya berbangga dengan pasukan ini dan cara mereka menangani keadaan dalam Penerbangan MH192 awal pagi tadi," kata beliau. 

Sementara itu, seorang penumpang, Pritesh Jain yang duduk di tempat duduk 22A berkata beliau mendengar bunyi kuat sejurus pesawat berlepas dan pesawat itu juga bergegar.

"Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Juruterbang pantas bertindak dan mereka terus berkomunikasi dengan kami," kata Pritesh yang bersendirian menaiki penerbangan itu.

Seorang lagi penumpang sendirian, Basavaraj Udapud berkata komunikasi dari kokpit dilakukan secara berterusan dan anak kapal juga menunjukkan demostrasi pendaratan kecemasan.

"Semua yang berada dalam pesawat membaca doa tetapi keadaan dalam pesawat amat tenang dan terkawal.

"Anak kapal dapat menanganinya dengan baik sekali. Semua orang memberi sorakan dan tepukan kepada Kapten apabila pesawat akhirnya berhenti. Ia pengalaman yang menakutkan," kata beliau.

Sementara itu, MAS berkata pihaknya sedang menyediakan laporan mengenai insiden MH192 untuk dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan.

Sunday, 20 April 2014

Kerajaan Sedia Beri Sumbangan Kedua Kepada Waris Mangsa Tragedi MH370



KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan bersedia untuk memberikan sumbangan kedua kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 tetapi jumlahnya hanya diputuskan selepas mendapat maklum balas daripada mereka.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan para waris yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Ada di antara ahli keluarga mereka yang kehilangan sumber pencarian. Kami berharap sumbangan ini akan mampu meringankan sedikit beban yang mereka hadapi," kata beliau selepas perjumpaan dengan para waris di sebuah hotel di sini hari ini.

Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung kehilangan pesawat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu itu berkata, sumbangan itu akan dibayar oleh pihak Malaysia Airlines dan jika perlu kerajaan akan turut membiayai sebahagian daripada jumlah berkenaan.

Sebelum ini, setiap waris keluarga mangsa telah menerima bantuan awal berjumlah AS$5,000 (RM16,195) berbentuk wang tunai ketika minggu pertama insiden itu terjadi.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Hamzah berkata, para waris turut diberi peluang untuk mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan peristiwa kehilangan MH370.

"Saya selaku pengerusi jawatankuasa mengumpulkan persoalan mereka, dan segala soalan itu akan saya bangkitkan pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi esok.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa kita tidak pernah membelakangkan perasaan dan kebajikan para waris, tanpa mengambil kira kewarganegaraan mereka." kata Hamzah.

Jawatankuasa Waris Penumpang merupakan salah satu daripada tiga jawatankuasa kementerian yang ditubuhkan untuk menyelaraskan usaha pencarian. Dua jawatankuasa lagi ialah Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penghantaran Aset. - UTUSAN ONLINE
posted from Bloggeroid

Tuesday, 15 April 2014



AirAsia akhirnya setuju memindahkan operasinya ke KLIA2 selepas Putrajaya membuat keputusan mendapatkan kepakaran Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO) bagi menilai dan menentukan keselamatan jangka panjang lapangan terbang itu.

“Keputusan ini mencerminkan keutamaan pihak kerajaan dalam isu keselamatan, dan memastikan bahawa KLIA2 adalah selamat untuk kegunaan orang ramai.

“Kami amat berterima kasih atas keutamaan yang telah diletakkan oleh pihak kerajaan dalam isu ini,” menurut kenyataan bersama Pengerusi AirAsia X Berhad Tan Sri Rafidah Aziz (kiri) dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun.

Pada 1 April lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.Mengulas pengumuman itu pada hari yang sama, AirAsia berkata semua operasi penerbangannya akan terus berpusat di LCCT, malah selepas 9 Mei.

Perdana menteri turut mengarahkan AirAsia berpindah mengikut jadual, walaupun kerajaan, menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, bersedia berbincang jika ada sebarang masalah berhubung pemindahan. Rafidah dan Kamarudin dalam kenyataan hari ini menyebut, Kumpulan AirAsia telah membuat persediaan sejajar dengan spesifikasi Kesediaan Operasi dan Pemindahan (ORAT) dan akan berpindah ke KLIA2 pada bulan depan.

“Walaupun masih terdapat beberapa isu-isu komersial yang tertangguh, perkara ini tidak akan membatas operasi kami di KLIA2 seperti yang dirancang.

“Oleh itu, Kumpulan AirAsia akan berpindah ke KLIA2 pada 9 Mei 2014,” kata mereka.