Tuesday, 15 April 2014



AirAsia akhirnya setuju memindahkan operasinya ke KLIA2 selepas Putrajaya membuat keputusan mendapatkan kepakaran Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO) bagi menilai dan menentukan keselamatan jangka panjang lapangan terbang itu.

“Keputusan ini mencerminkan keutamaan pihak kerajaan dalam isu keselamatan, dan memastikan bahawa KLIA2 adalah selamat untuk kegunaan orang ramai.

“Kami amat berterima kasih atas keutamaan yang telah diletakkan oleh pihak kerajaan dalam isu ini,” menurut kenyataan bersama Pengerusi AirAsia X Berhad Tan Sri Rafidah Aziz (kiri) dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun.

Pada 1 April lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.Mengulas pengumuman itu pada hari yang sama, AirAsia berkata semua operasi penerbangannya akan terus berpusat di LCCT, malah selepas 9 Mei.

Perdana menteri turut mengarahkan AirAsia berpindah mengikut jadual, walaupun kerajaan, menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, bersedia berbincang jika ada sebarang masalah berhubung pemindahan. Rafidah dan Kamarudin dalam kenyataan hari ini menyebut, Kumpulan AirAsia telah membuat persediaan sejajar dengan spesifikasi Kesediaan Operasi dan Pemindahan (ORAT) dan akan berpindah ke KLIA2 pada bulan depan.

“Walaupun masih terdapat beberapa isu-isu komersial yang tertangguh, perkara ini tidak akan membatas operasi kami di KLIA2 seperti yang dirancang.

“Oleh itu, Kumpulan AirAsia akan berpindah ke KLIA2 pada 9 Mei 2014,” kata mereka.

No comments:

Post a Comment