Tuesday 15 April 2014

PAS Keseorangan Memperjuangkan Hudud




KUALA LUMPUR 14 April - Pas dilihat keseorangan dalam mencapai hasrat parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan apabila terus mendapat tentangan daripada DAP.
Terbaru, DAP menegaskan, kesemua 38 Ahli Parlimen parti itu menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan itu juga akan melobi 46 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bukan Islam untuk mencabar serta menolak pelaksanaan hukum tersebut.

“Pendirian kita jelas, Ahli Parlimen DAP tidak akan menyokong dalam pelaksanaan hukum hudud. Saya difahamkan, tujuh Ahli Parlimen MCA, satu daripada Gerakan dan empat daripada MIC juga telah menyatakan bahawa mereka juga tidak akan menyokong usul tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini sebagaimana yang disiarkan dalam portal berita the Star Online.

Kerajaan Pas Kelantan semalam menegaskan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan untuk melaksanakan hudud yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri.

Malah katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.
Sebelum ini, DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Dalam pada itu, Lip Eng berkata, sokongan satu pertiga daripada 222 Ahli Parlimen diperlukan untuk mencabar rang undang-undang itu.

Katanya, ketika ini 50 Ahli Parlimen sudah berada di pihaknya untuk menentang hukum hudud.


Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment