Sunday 20 April 2014

Kerajaan Sedia Beri Sumbangan Kedua Kepada Waris Mangsa Tragedi MH370



KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan bersedia untuk memberikan sumbangan kedua kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 tetapi jumlahnya hanya diputuskan selepas mendapat maklum balas daripada mereka.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan para waris yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Ada di antara ahli keluarga mereka yang kehilangan sumber pencarian. Kami berharap sumbangan ini akan mampu meringankan sedikit beban yang mereka hadapi," kata beliau selepas perjumpaan dengan para waris di sebuah hotel di sini hari ini.

Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung kehilangan pesawat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu itu berkata, sumbangan itu akan dibayar oleh pihak Malaysia Airlines dan jika perlu kerajaan akan turut membiayai sebahagian daripada jumlah berkenaan.

Sebelum ini, setiap waris keluarga mangsa telah menerima bantuan awal berjumlah AS$5,000 (RM16,195) berbentuk wang tunai ketika minggu pertama insiden itu terjadi.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Hamzah berkata, para waris turut diberi peluang untuk mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan peristiwa kehilangan MH370.

"Saya selaku pengerusi jawatankuasa mengumpulkan persoalan mereka, dan segala soalan itu akan saya bangkitkan pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi esok.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa kita tidak pernah membelakangkan perasaan dan kebajikan para waris, tanpa mengambil kira kewarganegaraan mereka." kata Hamzah.

Jawatankuasa Waris Penumpang merupakan salah satu daripada tiga jawatankuasa kementerian yang ditubuhkan untuk menyelaraskan usaha pencarian. Dua jawatankuasa lagi ialah Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penghantaran Aset. - UTUSAN ONLINE
posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment