Thursday 5 June 2014

Yammy Wajar Dipecat Kerana Bantu Kempen DAP : Veteran UMNO



Yammy Samat, ibu kepada calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofia Mohd Daud, wajar dipecat daripada Umno sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP, kata Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau berkata Umno bersikap tegas mengikut peraturan terhadap anggotanya yang berkempen untuk parti pembangkang dan beliau percaya jawatankuasa disiplin parti akan menyiasat dengan teliti.

"... (Buat masa ini) beri ruang kepada beliau (Yammy) untuk menjawab (tuduhan) tetapi jika (Yammy) benar-benar bersalah, pendirian Veteran Umno tegas bahawa beliau wajar dipecat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Umno menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy kerana didakwa berkempen untuk anaknya dan beliau perlu menjawab dalam tempoh 14 hari.

Mustapha berpendapat sebagai sebuah parti yang mengamalkan konsep keterbukaan, adalah tidak menjadi suatu kesalahan dalam peraturan Umno, apabila ada anggota keluarga ahli Umno itu bertanding mewakili parti pembangkang.

"Namun menjadi satu kesalahan apabila ahli Umno itu sendiri berkempen untuk anggota keluarga mereka, tidak kira suami atau anak yang bertanding mewakili parti pembangkang," katanya.

Pada PRK Teluk Intan Sabtu lepas, Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong, 53.



-- BERNAMA

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment