Thursday 5 June 2014

Tun M : " Nik Aziz adalah saudara saya tetapi jika dia salah saya tidak boleh terima"



KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menganggap bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai saudara, namun tetap akan menegur beliau sekiranya beliau bersalah.

“Nik Aziz adalah saudara saya tetapi sekiranya beliau membuat sesuatu yang salah, saya tidak boleh menerima. Ini adalah sebab mengapa saya berbeza (pendapat) daripada beliau,” katanya semasa program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini pada Rabu.

Dr Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan salah seorang peserta Syarahan Perdana itu, yang mencadangkan bekas Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat membimbing umat Islam bersama Dr Mahathir kerana terdapat banyak persamaan antara mereka berdua.

Menjawab soalan itu, Dr Mahathir berkata prinsip utama undang-undang adalah untuk mencapai keadilan.

“(Tetapi) Umat Islam lebih berminat ke atas hukuman.

“Hukuman boleh dijatuhkan tetapi ia mestilah adil. Kalau anda berkata hudud adalah hanya untuk orang Islam, itu tidak adil.

“Kalau dua orang yang mencuri tertangkap dan kamu memotong tangan salah seorang daripada mereka kerana dia Islam dan seorang lagi dipenjarakan dua bulan, adakah itu adil?

“Itu tidak adil,” katanya.

Beliau berkata di negara ini adalah sukar untuk mencapai keadilan.

“Kita mesti mempunyai undang-undang yang sama. Apa yang adil, adalah Islam. Dari segi itu, saya berbeza daripada Nik Aziz, saudara saya,” katanya.

Di bawah pemerintahan Nik Aziz pada 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Bagaimanapun sehingga kini ia tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran itu juga, Dr Mahathir pernah menulis sepucuk surat kepada Nik Aziz bagi menentang pelaksanaan Enakmen tersebut.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/tun-mahathir-nik-aziz-saudara-saya-tetapi-kalau-dia-salah-saya-tidak-terima-37194?cp

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment