Thursday 15 May 2014

Kerusi Genap: Persempadanan Semula di Beberapa Negeri Dikaji -SPR



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan memulakan proses persempadanan semula di beberapa negeri yang mempunyai jumlah kerusi genap bermula tahun ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata persempadanan semula ini seharusnya dilakukan dari dahulu lagi, namun, ia tidak lagi dilakukan kerana penglibatan dengan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

"Perlunya persempadanan semula ini untuk menjadikan kerusi DUN dan Parlimen ganjil kerana jika genap akan timbul masalah bila kedudukan kerusi menjadi 50-50.

"Walaubagaimanapun, sekiranya ini berlaku, Speaker sesetengah negeri boleh menentukan siapa yang berhak memerintah negeri itu.

"Kami sedang dalam proses menyediakan notis untuk proses persempadanan di negeri-negeri yang mempunyai jumlah kerusi genap seperti Terengganu," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menerangkan bahawa proses persempadanan itu akan mengambil masa lebih kurang dua tahun.

"Ini kerana terdapat pelbagai langkah seperti mempamerkan notis, mendengar bantahan, menukar cadangan persempadanan sebelum mendengar bantahan sekali lagi.

"Proses ini agak panjang untuk memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan dan sebagainya," katanya.

Kali terakhir persempadanan semula dilakukan adalah pada 2003 dan ia sepatutnya diadakan semula pada 2011 namun ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada PRU13, katanya.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/kerusi-genap-persempadanan-semula-di-beberapa-negeri-dikaji-spr-35816?cp

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment