MELIHAT kepada rebat air 20 meter padu yang diberi oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kepada semua rakyat negeri itu dengan Johor yang turut memberi rebat yang sama tetapi lebih tinggi iaitu 25 meter padu, ia seperti terkandung sisi tersirat yang amat berbeza.
Di Selangor semua rakyat tidak kira kaya, miskin, golongan ekspatriat, kilang mahupun pelancong enak merasa air percuma.
Namun di Johor sebagaimana dinyatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebanyak RM14 pemberian subsidi air hanyalah untuk orang susah dan Orang Asli yang benar-benar memerlukannya.
Sepatutnya itulah yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor kerana polisi memberi air percuma hanya menyebabkan pembaziran yang melampau kerana semua pihak merasakan ia seperti mudah didapati dan tidak akan habis.
Dalam situasi semasa di Johor , pemberian air percuma misalnya dibuat dengan merujuk kepada data di dalam e-kasih yang mana di dalam pangkalan data ini senarai orang susah dengan mudah boleh dikenalpasti.
Isu meniru polisi pemberian rebat air tidak akan timbul jika semua orang faham bahawa setiap rakyat yang miskin dan kaya menikmati status hidup berbeza dan sewajarnya yang kurang ditambah dan yang berlebih tidaklah perlu bersungut kerana mereka menikmati kek ekonomi yang besar.
Jika dikaji masalah air di Selangor dan Johor juga berbeza sekali. Di Johor bekalan air mentah tidak terawat begitu banyak hingga mampu membekalkannya ke Singapura untuk diproses dengan situasi menang-menang antara kedua pihak. Kerajaan negeri dapat membekalkan air yang berkualiti kepada rakyat dari loji penapisan air di seberang tambak.
Namun di Selangor polisi air percuma sudah dilihat cantik namun ibarat pepatah jika kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga.
Kalau tidak mampu memberi rebat air maka dasar tersebut harus dikaji. Loji Rawatan Langat 2 masih belum dapat dilihat kelibatnya akibat percaturan politik sejak enam tahun lalu. Apa yang pasti dengan wujudnya loji tersebut maka bekalan air akan lebih terjamin bagi tempoh 50 tahun.
Sayang seribu kali sayang rebat air percuma mungkin mampu memberi sokongan hingga dua penggal kepada Kerajaan PKR Selangor. Namun setelah Pilihan Raya Umum Ke-13 selesai barulah rakyat sedar bahawa apa yang dikatakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar enam tahun dulu menjadi kenyataan. Bahawasanya 2014 krisis air akan melanda Selangor.
Hari ini dengan dasar rebat air hampir sama, krisis air tidak berlaku di Johor tetapi di Selangor.
Pemberian rebat pula berdasarkan kaedah hampir sama tetapi pendekatan berbeza. Subsidi perlulah diberi kepada yang selayaknya bukannya bersifat populis semata-mata.
Siapa sangka negeri maju bernama Selangor ditimpa masalah air dengan pakar-pakar air mula sangsi dengan pendekatan kerajaan negeri menggunakan air lombong mengandungi plumbum yang dipam ke dalam Sungai Selangor.
Lebih mengejutkan exco negeri menjamin air yang diproses selamat kerana ada negara menggunakan air kumbahan untuk dijadikan sumber air mentah tidak terawat.
Jika demikian bagai dikata kita harus menunggu berpuluh tahun untuk melihat hasil penggunaan air lombong sama ada menyihatkan atau menyebabkan penyakit kronik.
Sebaiknya kerajaan negeri insaf dengan keadaan yang menimpa dan menggunakan wang rebat 20 meter padu sebagai modal membeli air dari negeri luar. Tidak perlulah diberi rebat air jika airnya pun dicatu hingga kulit kering jadi kematu.
Sesungguhnya, rebat air kerajaan negeri Johor ibarat mengukur baju di badan sendiri iaitu membantu rakyat negeri tersebut yang benar-benar layak untuk dibantu. Kerajaan Selangor perlu prihatin dengan kebajikan dan kesihatan rakyat.
Apa guna ada air percuma tetapi percuma sahaja diserang penyakit akibat air lombong yang entah selamat entahkan tidak.
Biarlah rebat diberi untuk rakyat yang susah dan yang kaya biarlah mereka membayarnya dengan harga biasa kerana mereka pengguna tegar bahan asas tersebut untuk membasuh kereta dan kolam renang.
Yang penting, di Johor tiada air lombong dan di Selangor terimalah air mengikut terowong dari Pahang. Rakyat diutamakan .
Berita ehsan dari Utusan Online
posted from Bloggeroid
No comments:
Post a Comment